Sunday 11 March 2012

CARA PELAKSANAAN PROGRAM NILAM

Ada dua perkara yang perlu dimaklumkan bila kita bercakap mengenai trend membaca dalam kalangan murid-murid. Yang pertama ialah jenis buku yang menjadi minat mereka. Dalam kajian yang dibuat oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum didapati murid-murid lebih suka membaca buku-buku yang berkisar mengenai sesuatu yang ”hampir’ dengan mereka, sesuai dengan usia dan persekitaran mereka. Selain dari buku-buku bukan fiksyen yang berbentuk ilmiah, murid-murid lebih terarah untuk membaca buku-buku yang berkaitan dengan remaja, hubungan dalam konteks usia remaja, grafik yang menarik dengan teks yang mudah difahami.
Oleh itu, pihak pentadbir sekolah yang bertanggungjawab dalam urusan perolehan buku-buku perlulah mengambil kira faktor-faktor ini dalam usaha membina koleksi di Pusat Sumber Sekolah. Di pihak KPM, kita ada menyediakan Senarai Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah bagi menjadi panduan kepada sekolah-sekolah dalam pembelian bahan-bahan bacaan di pusat sumber. Senarai ini merupakan senarai bahan bacaan yang dikemukakan oleh penerbit dan pembekal buku dan telah melalui proses penilaian. Langkah ini diambil bagi memastikan hanya bahan-bahan bacaan yang berkualiti saja yang boleh dibekalkan ke sekolah.
Perkara kedua yang membentuk trend membaca dalam kalangan murid-murid pula ialah bentuk buku yang dibaca. Trend dan minat murid-murid sekarang lebih terarah kepada sesuatu yang bersifat teknologi dan ICT. Kita melihat ini sebagai sesuatu yang positif dan Program NILAM juga sememangnya sentiasa ditambahbaik seiring dengan kemajuan teknologi sedia ada.
Dalam pelaksanaan Program NILAM kita meminta murid membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod NILAM. Buku-buku yang dimaksudkan ialah buku-buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari Pusat Sumber Sekolah, Perpustakaan Awam ataupun yang mereka beli sendiri. Seiring dengan kepesatan teknologi, Program NILAM juga menggalakkan mereka membaca buku-buku dalam bentuk digital yang boleh diperolehi dari Pusat Sumber Digital, e-book dan juga CD/DVD. Malah mereka juga boleh memuat turun bahan-bahan bacaan dari internet untuk mereka baca dan simpan sebagai koleksi peribadi mereka. Sekarang ini sudah ada teknologi di mana buku-buku berbentuk digital boleh ”membacakan” buku tersebut untuk kita dan boleh disimpan di dalam pemain muzik MP3 dan juga iPod. Dengan kepesatan teknologi yang semakin memudahkan kita di zaman ini, tidak ada alasan lagi sebenarnya untuk kita mengatakan bahawa kita tidak ada masa untuk membaca.

No comments:

Post a Comment